Tingkatkan daya inovasi dalam sektor pekerjaan

9 11 2007

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kerajaan diminta meningkatkan daya inovasi dan teknologi dalam pelbagai sektor pekerjaan bagi menangani masalah lambakan pekerja asing yang semakin meruncing di negara ini.

 

Wakil Johor, Datuk Dr. Haris Salleh berkata, langkah itu akan mengurangkan penggantungan pekerja asing dalam sektor industri, perkhidmatan dan peladangan, sekali gus menambah produktiviti negara.

 

“Dengan cara itu, kita bukan sekadar meningkatkan pengeluaran negara tetapi juga memajukan inovasi, penggunaan teknologi dan modal insan berkualiti,” katanya ketika menyokong usul ekonomi dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di sini hari ini.

 

Haris berkata, langkah tersebut perlu disegerakan kerana kebanjiran pekerja asing kini menyebabkan banyak pihak industri tidak mempedulikan aspek inovasi dan perubahan teknologi ekoran tenaga buruh itu boleh diperoleh dengan mudah dan murah.

 

Lebih memburukkan keadaan, menurutnya, faktor itu mengakibatkan daya penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor swasta ketinggalan, manakala dua kementerian berkaitan dilihat seperti tidak mempunyai dasar yang jelas bagi menangani isu tersebut.

 

“Kita ada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Sumber Manusia, namun seolah-olah tiada koordinasi antara kedua-duanya.

 

“Satu kementerian ditugaskan mendorong inovasi, tetapi kementerian yang satu lagi terus membuka pintu kepada pekerja asing berbondong-bondong walaupun mereka bukan pekerja mahir,” jelasnya.

 

Beliau berkata, negara terpaksa melatih pekerja asing itu dalam penggunaan teknologi sehingga menjadikan Malaysia seperti `pusat latihan pekerja asing’ dan selepas tempoh waktu tertentu mereka akan pulang ke negara asal menyebabkan Malaysia kerugian.

 

Sehubungan itu, Haris berkata, UMNO Johor mencadangkan supaya kerajaan memberi tumpuan kepada usaha melatih warga tempatan dengan latihan kemahiran dan penggunaan teknologi bagi memastikan peluang pekerjaan rakyat negara ini terjamin.

 

Katanya, Kementerian Pelajaran pula dicadangkan supaya memperkenal mata pelajaran keusahawanan asas di peringkat sekolah rendah bagi merealisasikan hasrat mewujudkan Masyarakat Perindustrian dan Perdagangan Bumiputera.

 

Menurutnya, pendedahan awal itu akan mendorong murid-murid terbabit menyambung dan menceburi bidang tersebut di peringkat menengah hingga ke universiti.

 

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan supaya dana Bank SME sebanyak RM2 bilion ditambah menjadi RM10 bilion bagi membuka peluang yang lebih luas untuk urusan pinjaman syarikat industri kecil dan sederhana (IKS).

 

Mengenai isu kenaikan harga minyak, katanya, rakyat perlu memahami bahawa kerajaan menanggung subsidi yang terlalu tinggi iaitu lebih RM27 bilion dan ia tidak boleh ditanggung selama-lamanya kerana kenaikan harga minyak dunia bukan dalam kawalan kerajaan.

 

“Rakyat perlu memahami kenaikan ini memberi kesan kepada rantaian ekonomi negara dan gaya hidup kita, maka penting untuk kita semua bersedia berkorban pada masa depan.

 

“Ini kerana jumlah subsidi yang terus meningkat akan mengorbankan sebahagian daripada rancangan pembangunan negara,” jelasnya.

 

 

 

Dalam pada itu, Haris berkata, UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu menghayati konsep baru iaitu modal sosial, pendekatan kerjasama berteraskan saling mempercayai, kesetiaan dan timbal balas bagi membantu menyeimbangkan ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera.

 

Katanya, menggunakan konsep itu perkongsian sejati di antara bumiputera dan bukan bumiputera akan dapat diwujudkan sebagaimana BN telah sepakat itu melaksanakan perkongsian kuasa.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online (2007)


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: