Semangat suami pendorong kejayaan Norshima

9 11 2007

BUKAN mudah untuk membangunkan semula apa yang telah dirintis oleh suaminya tanpa mengetahui selok-belok perniagaan.

 

Namun begitu, berbekalkan ketabahan Norshima Abdul Jalel 45, berjaya mengetepikan segala kesedihan demi meneruskan usaha arwah suaminya, Harun Abdullah dalam perkhidmatan mencuci bangunan.

 

Prinsip arwah suaminya yang tidak mengenal erti menyerah kalah walaupun diserang penyakit Parkinson selama tujuh tahun, menjadi model kepadanya untuk menjalankan syarikat ini

 

Walaupun dalam keadaan sakit, suaminya tetap datang ke pejabat menguruskan apa yang terdaya.

 

”Di kerusi empuk inilah dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya, melihat kerja-kerja yang perlu diuruskan walaupun diri sudah tidak mampu lagi,” ujarnya sambil menatap sayu potret arwah suaminya ketika ditemui, di pejabatnya di Plaza Pekeliling.

 

”Ingatannya masih kuat tentang urusan-urusan perniagaan dan ini diakui oleh doktor-doktor yang mengubatinya,” kata Norshima yang menjadikan suaminya sebagai suntikan semangat untuk meneruskan perniagaan bersama anak lelakinya.

 

Dia pernah dua kali membawa arwah suaminya berubat di salah sebuah hospital swasta di Paris.

 

Bagaimanapun manusia tidak dapat melawan takdir, suami tercinta meninggal dunia setelah koma selama seminggu di Pusat Perubatan Pantai, cawangan Cheras.

 

”Dalam tempoh koma itu, saya dan anak-anak bagaikan sudah kering air mata menangisi kesengsaraannya, kami tidak dapat membayangkan kehidupan kami tanpanya di sisi,” ujarnya.

 

Pemergian suaminya tidaklah begitu dikesalkan kerana telah berusaha sedaya upaya mengubatinya dan menjaganya sendiri tanpa dibiarkan kepada pengasuh.

 

”Tempat si isteri adalah di sisi suami, sayalah yang menyuapkan makanan, minuman dan memandikannya memandangkan penyakit yang dialaminya menyebabkan tangan dan kakinya tidak berfungsi,” jelasnya sambil menunjukkan potret suaminya yang dilukis tangan.

 

Biarpun dia hanya sempat belajar tentang perniagaan ini ketika suaminya disahkan menghidapi penyakit Parkinson iaitu penyakit urat saraf, dia bersyukur kerana berjaya membuktikan kejayaannya pada hari ini.

 

Norshima mengaku halangan dan dugaan yang ditempuhinya sebaik sahaja kematian suaminya lebih setahun lalu telah mematangkan dirinya untuk menguruskan perniagaannya yang dimonopoli oleh golongan lelaki.

 

”Saya bagaikan layang-layang terputus tali ketika itu, sukar bagi kami menyakinkan kepada para pelanggan lama tentang syarikat yang kini saya uruskan sendiri,” katanya.

 

Ketika itu beliau sukar mengecam yang mana satu kawan atau lawan.

 

”Bayangkanlah semua urusan perniagaan selama 11 tahun ini diuruskan oleh suami saya sebagai pemilik tunggal syarikat itu.

 

”Kematiannya membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan,” ujarnya.

 

Norshima mendapati ramai lelaki mula mendekatinya untuk menjalinkan perniagaan, ada di antara mereka tidak ikhlas dan bersikap hidung belang.

 

Kata Norshima, pada awalnya dia mengalami kesukaran untuk menukar nama syarikat suaminya, Profesional Bumi Maintenance kepada Triple H Cleaning Services.

 

Norshima mendakwa pernah ditipu oleh kakitangan yang bertugas di salah sebuah jabatan dengan cuba melambat-lambatkan permohonannya semata-mata kerana dia seorang wanita.

 

”Malah saya juga terpaksa berhadapan dengan masalah pembayaran yang agak lambat dengan pelanggan saya,” keluhnya.

 

Ada juga beberapa orang pelanggan yang menggunakan perkhidmatan syarikatnya enggan menjelaskan caj bayaran kerana ragu-ragu dengan keupayaan Triple H.

 

”Di saat itu, terasa dunia ini gelap, sudahlah sedih dengan kematian suami, pelanggan pula tidak mempercayai saya,” jelasnya yang pada waktu itu lebih kurang RM70,000 caj bayaran yang masih belum dijelaskan.

 

Menurutnya, bila mengenangkan gaji yang perlu dibayar kepada pekerja, dia terpaksa merayu dan menangis di depan pelanggan semata-mata untuk menuntut bayaran perkhidmatan syarikatnya.

 

Malah beberapa kali, dia terlepas tender dengan pelanggan lama setelah mereka hilang keyakinan terhadap syarikatnya. Bagaimanapun Norshima percaya setiap musibah yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

 

Triple H kini menjadi pilihan kepada kebanyakan bank perdagangan, resort, sekolah, pembekal elektrik terbesar dan sebagainya lagi.

 

Selain itu juga, Triple H mengambil tender memotong rumput, menghias taman dan membersih rumah orang perseorangan.

 

Ketika ditanya apakah yang membuat diinya cekal hingga berjaya setanding orang lain?

 

Jawab Norshima, beberapa bulan sebelum kematian suaminya, rezeki datang tanpa disangka-sangka hinggakan pada satu masa tidak cukup tangan untuk me-ngurusnya. Kini Norshima merupakan pengurus wanita tunggal dalam perniagaan ini, mempunyai 200 pekerja, bercita-cita untuk memperluaskan perniagaan hingga ke Sabah dan Sarawak pada pertengahan tahun depan.

 

Dia berpendapat, majikan yang sentiasa mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap para pekerjanya tidak akan menghadapi masalah pekerja memberontak atau melarikan diri.

 

Dia menasihatkan golongan wanita supaya jangan terlalu mengharap bantuan suami dalam segala hal, sekiranya suami telah tiada mereka sukar berdikari.

 

Oleh: HAFIDAH IBRAHIM

Dipetik dari Utusan Malaysia Online (2000)


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: