Pekerja wanita perlukan perhatian lebih serius

9 11 2007

CAW memandang berat masalah wanita bekerja di ladang yang masih kurang diberi perhatian berbanding di dalam kerajaan dan koporat.

 

CAW mempunyai 28 rangkaian anggota di seluruh dunia yang bertanggungjawab membuat kaji selidik dan meninjau masalah pekerja wanita.

 

Hari ini adalah Hari Pekerja Wanita Antarabangsa di mana kesatuan sekerja dan pertubuhan wanita di seluruh dunia mengadakan pelbagai aktiviti dan kempen bagi menyuarakan hak wanita di tempat kerja serta isu-isu berkaitan.

 

Di Malaysia kempen dan perarakan diadakan di Pulau Pinang pada 6 Mac lalu diikuti dengan perarakan besar-besaran di Seoul, Korea hari ini.

 

Ikuti temu bual wartawan Keluarga NORMALA HAMZAH dan jurugambar Nazeri Abu Bakar bersama Setiausaha Sahabat Wanita Malaysia Irene Xavier dua dua pemimpin kesatuan wanita Filipina mengenai Hari Pekerja Wanita Antarabangsa ini.

 

Kerajaan negara-negara Asia Tenggara digesa mengambil tindakan lebih drastik mengenai perkara-perkara yang membabitkan isu-isu pekerja wanita.

 

Sehubungan itu kesatuan sekerja wanita diseluruh Asia Tenggara diajak bersatu untuk membina benteng teguh dan rangkaian kekeluargaan lebih terjamin bagi menuntut hak-hak mereka dalam suasana pelbagai krisis yang melanda dunia.

 

Irene Xavier, Setiausaha Sahabat Wanita Malaysia yang juga jurucakap Jawatankuasa bagi Wanita Asia (CAW) Asia Tenggara berkata, sudah sampai masanya bagi pekerja wanita di dunia khasnya di Asia Tenggara melahirkan suara mereka terhadap isu-isu di tempat kerja yang selama ini tidak pernah diketengahkan kepada orang ramai.

 

“Sebagai wanita yang bekerja, kita sering terdedah kepada pelbagai masalah baik di rumah mahupun di tempat kerja. Dalam hubungan ini sudah terbukti bahawa pekerja wanita menghadapi tekanan lebih kuat berbanding lelaki,” kata Irene.

 

Irene menarik perhatian terhadap beban yang ditanggung oleh pekerja wanita yang terpaksa mengorbankan segala-galanya untuk diri sendiri, majikan dan juga rumah tangga serta keluarga.

 

“CAW dan SWM terpanggil untuk membela dan menyuarakan rasa tertekan dan tidak puas hati pekerja wanita yang masih merasakan diri mereka tidak dibela sepenuhnya.

 

“Di beberapa negara masih ada pihak yang tidak mengiktiraf keupayaan pekerja wanita untuk bekerja di ladang, kilang serta jabatan kerajaan dengan alasan tahap kemampuan mereka masih rendah,” ujar Irene.

 

Menurut Irene kalau pun ada wanita yang diambil bekerja, mereka masih tertindas, dianaktirikan dan tidak diberi hak sepatutnya.

 

Menyedari pentingnya pekerja wanita diberi peluang membuktikan kemampuan mereka dan hak-hak mereka diambil perhatian serius, CAW melancarkan kempen menuntut hak-hak pekerja wanita bermula 27 Februari lalu sehingga 10 Mac.

 

Kempen ini akan berjalan dan dijadualkan selesai pada awal tahun 2000. Bermula dengan Bengkel Kepimpinan Latihan di Kuala Lumpur dan perhimpunan di Pulau Pinang kempen ini akan diteruskan dengan lawatan ke Manila dan Zamboanga, Filipina.

 

Di akhir kempen para peserta akan melawat Korea dan menjadi tetamu Persatuan Pekerja Wanita Bekerja (KWWAU) Korea.

 

Selain itu kempen ini juga akan melakukan lawatan ke sektor tidak rasmi di Lahore, Pakistan di samping beberapa projek lain sepanjang tahun sebelum melangkah ke tahun 2000.

 

Bagi melaksanakan kempen tersebut satu delegasi terdiri daripada pertubuhan dan pekerja wanita dari lima Asia Tenggara Indonesia, Thailand, Malaysia, Filipina and Singapura mengadakan lawatan secara bergilir-gilir ke negara-negara terbabit.

 

Kehadiran mereka adalah untuk bercerita dan berbincang mengenai pekerja wanita di negara masing-masing melalui pengalaman dan kaji selidik yang mereka laksanakan.

 

Yang baik dijadikan contoh dan diserapkan untuk diagih-agihkan kepada pekerja wanita di negara-negara anggota.

 

“Sudah sampai masanya pekerja wanita menyuarakan pendapat mereka ke peringkat antarabangsa. Jika tidak perubahan dan peningkatan terhadap masa depan mereka tidak akan berubah,” kata Irene.

 

Menurut Irene, pekerja wanita bukan mahu dipuja dan disanjung tetapi mereka mahu diberi peluang membuktikan bahawa tenaga wanita juga penting dalam pembangunan sesebuah negara. Pada masa yang sama mereka ingin dihargai.

 

“Di Malaysia misalnya, gangguan di tempat kerja masih berlaku. Masih ada pekerja wanita yang dibuang dengan sewenang-wenangnya. Pembanjiran tenaga buruh asing termasuk buruh wanita menutup peluang wanita tempatan bekerja.

 

“Pada masa yang sama soal gaji dan taraf jawatan kerja masih menjadi batasan di kalangan majikan di ladang-ladang dan estet sedangkan wanita sudah membuktikan yang mereka mampu melakukan kerjaya mencabar bersaing dengan lelaki,” katanya.

 

Kempen yang dilaksanakan oleh delegasi CAW bertujuan menyedarkan pekerja wanita khususnya yang di luar bandar terhadap pentingnya mereka menjaga hak mereka sebagai pekerja.

 

“Kita tidak mahu wanita yang bekerja khasnya di ladang dan kilang hanya menjadi pak turut dan tidak diberi hak bersuara. Sepatutnya mereka tampil memberi idea-idea bernas yang dapat membantu meningkatkan penampilan mereka.

 

“Bagaimanapun tahap kepercayaan di kalangan wanita bekerja di jabatan kerajaan, sektor korporat telah meningkat dengan baik biarpun masih ada yang perlu dibaiki,” kata Irene.

 

Menurut Irene kempen yang dilancarkan oleh CAW ini diharap akan memberi nafas baru kepada pekerja wanita menyuarakan hak mereka secara terbuka dan lantang dalam setiap isu membabitkan mereka dan keluarga.

 

Di akhir kempen kata Irene setiap peserta akan berkumpul semula untuk membuat post-mortem terhadap apa yang telah mereka kaji dan lihat sendiri di negara-negara yang dilawati bagi membuat rumusan konkrit mengenai masa depan wanita Asia Tenggara.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: