Pekerja digesa tingkatkan produktiviti

9 11 2007

KUALA LUMPUR 30 April – Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad meminta para pekerja di negara ini supaya terus meningkatkan produktiviti kerja bagi membantu memulihkan ekonomi negara.

 

Mereka juga jangan terlalu memilih pekerjaan di waktu negara sedang berusaha memulihkan ekonomi, walaupun upahnya tidak seperti di masa mewah, katanya.

 

”Kita sedang bersaing secara hebat dengan negara-negara lain dan kejayaan dalam persaingan ini bergantung kepada tingginya produktiviti kita.

 

”Jika kita gagal maka kesannya akan dirasai oleh kita semua, termasuklah golongan pekerja, sebaliknya jika produktiviti kita meningkat, kejayaan yang dicapai akan juga dinikmati bersama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja esok.

 

Dr. Mahathir mahu para pekerja terus mengamalkan disiplin dan etika kerja yang baik untuk meningkatkan produktiviti di samping menjaga mutu kerja.

 

”Kita bersyukur ke hadrat Allah swt kerana para pekerja di negara ini tidak menghadapi masalah besar seperti pembuangan kerja secara besar-besaran sebagaimana yang berlaku di beberapa negara lain,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata, keadaan itu dapat diwujudkan hasil kejayaan langkah-langkah segera dan tegas oleh kerajaan untuk menghalang percubaan pihak tertentu merosakkan ekonomi Malaysia.

 

”Kini berkat kerjasama semua pihak, termasuk para pekerja, langkah-langkah yang telah diambil kerajaan telah memperlihatkan kesan-kesan positif,” katanya.

 

Dr. Mahathir berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap masalah pekerja dan telah mengambil langkah-langkah memastikan kepentingan mereka terjamin dan terus mantap ketika negara menghadapi masalah ekonomi.

 

Ia temasuk mempergiatkan projek binaan dan infrastruktur berasaskan kepada andaian bahawa aktiviti ekonomi dalam sektor binaan akan menghasilkan peningkatan peluang-peluang pekerjaan secara langsung, kata beliau.

 

Dr. Mahathir berkata kerajaan juga memperuntukkan modal pinjaman kepada para peniaga dan usahawan kecil.

 

”Dengan wujudnya peluang-peluang pekerjaan ini, rakyat tidak akan merasa kepahitan daripada kesan-kesan ekonomi yang lembah, yang masih kita hadapi,” katanya.

 

Perdana Menteri berterima kasih kepada golongan pekerja di negara ini yang faham dengan masalah yang dihadapi oleh negara dan tidak bertindak secara tidak bertanggungjawab dan menyulitkan pemulihan ekonomi.

 

”Kita lihat bagaimana di negara di mana pekerjanya sering mengambil tindakan perusahaan dan menuntut upah yang tidak mampu dibayar oleh majikan, keadaan dan masalahnya hanya menjadi semakin buruk,” katanya.

 

Dr. Mahathir berkata dalam keadaan itu, kerapkali nilai mata wang dan inflasi menjadikan pendapatan yang bertambah tidak bermakna kerana tidak dapat membeli lebih daripada dahulu, bahkan kurang daripada yang dapat dibeli dengan pendapatan lama.

 

Katanya pengangguran sepatutnya tidak berlaku kerana peluang kerja baru lebih banyak daripada bilangan penganggur dan negara masih mempunyai ramai pekerja asing kerana pekerja Malaysia terlalu memilih kerja.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan ingin melihat pendapatan pekerja bertambah sepanjang masa kerana ia akan menolong membangunkan ekonomi negara.

 

Bagaimanapun, pendapatan yang bertambah oleh pekerja hendaklah kerana peningkatan produktiviti sebab jika tidak, hasil kerja tidak dapat dijual dan kerugian akan dialami oleh penjual dan apabila penjual rugi maka perniagaan akan merosot dan pekerja mungkin hilang pekerjaan.

 

”Saya berbangga kerana kesatuan sekerja di Malaysia faham akan peranannya dan betul-betul memelihara kepentingan pekerja. Sebab itu terdapat ‘ketenangan perindustrian’ di Malaysia dan ini secara langsung menolong pemulihan ekonomi,” katanya.

 

Sempena sambutan Hari Pekerja, Dr. Mahathir mahu para pekerja dan kesatuan sekerja merenung masalah pekerja di zaman globalisasi dan sikap pekerja dalam melindungi hak mereka kerana jika mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga, mereka akan dipermainkan oleh orang lain dan akan rugi kerananya. – Bernama.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: