Nasib malang pekerja kanak-kanak

9 11 2007

Oleh Siti Mariam Md. Zain

 

BAGI kanak-kanak berusia tujuh tahun, memotong sisal (serat daripada sejenis tumbuhan) yang digunakan untuk menghasilkan tali mungkin satu pekerjaan berat.

 

Namun Taina Moraes tidak mempunyai pilihan. Kemiskinan keluarga tidak membenarkan dia bersama rakan-rakan sebaya. Dalam usia sepatutnya dia ke sekolah, Moraes terpaksa menggunakan tulang empat kerat untuk bekerja demi memastikan kelangsungan hidup dia dan keluarganya.

 

Itu kisah Moraes kira-kira lapan tahun lalu. Kini, dia telah berusia 15 tahun. Jika dahulu badan kurusnya sentiasa comot dan dibasahi peluh, hari ini hidup Moraes lebih teratur dan gembira di samping keluarga.

 

Segala-galanya berubah setelah pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyedari kesengsaraan yang dialaminya. Melalui program yang dijalankan, keluarga Moraes yang miskin, dibantu untuk bercucuk tanam dan menternak kambing.

 

Moraes yang berasal dari pedalaman Valente, 800 kilometer timur laut Rio de Janeiro juga berpeluang ke sekolah.

 

“Pada awalnya saya tidak tahu membaca. Tetapi cikgu tidak berputus asa mengajar saya. Dan sekarang, membaca adalah dunia saya,” kata Moraes, 15, sambil tersenyum.

 

Menurut kajian yang dijalankan oleh Organisasi Pekerjaan Antarabangsa (ILO), jumlah pekerja kanak-kanak di seluruh dunia telah menurun sebanyak 11 peratus.

 

Antara 2000 hingga 2004, pekerja kanak- kanak di bawah 18 tahun telah berkurangan daripada 246 juta kepada 218 juta orang.

 

Penurunan ketara, menurut ILO, meliputi Amerika Latin dan Kepulauan Caribbean iaitu mencatatkan kejatuhan sebanyak dua pertiga daripada jumlah empat tahun lalu.

 

Di Brazil, kebanyakan kanak-kanak dari keluarga miskin di sekitar wilayah timur laut, masih memotong tebu manakala di bahagian tengah negara itu, mereka lebih tertumpu kepada menghasilkan arang batu selain menjual gula-gula di sepanjang jalan raya di Sao Paulo serta tidak terkecuali, menjual dadah di pedalaman Rio de Janeiro.

 

Gaji

 

Bagaimanapun, kadar kemiskinan yang semakin mengecil, peningkatan pendidikan dan penolakan dunia terhadap pekerja kanak-kanak telah membantu mengurangkan jumlah mereka berbanding sebelum ini.

 

Jumlah pekerja kanak-kanak berumur antara lima hingga sembilan tahun jatuh 61 peratus antara tahun 1992 dan 2004 manakala mereka yang berusia 10 hingga 17 tahun pula menurun kepada 36 peratus.

 

Statistik dunia menunjukkan masalah pekerja kanak-kanak lebih tertumpu di negaranegara pertanian. ILO melaporkan, daripada 10 kanak-kanak, tujuh mereka terlibat dengan pelbagai aktiviti pekerjaan.

 

Fenomena yang sama juga berlaku di Asia dan wilayah Pasifik. Malah negara-negara terbabit masih mempunyai jumlah pekerja tenaga muda yang besar iaitu 122 juta orang, berumur antara lima dan 14 tahun.

 

Biarpun berlaku penurunan, jumlah tersebut mungkin meningkat semula berikutan bencana tsunami yang mengorbankan banyak jiwa pada Disember 2004 selain tragedi gempa bumi di Pakistan Oktober lalu.

 

Tahun lalu, dianggarkan kira-kira 10 juta kanak-kanak di seluruh dunia bekerja khusus sebagai orang suruhan di rumah-rumah individu. Biarpun menjadi masalah sosial yang serius, namun isu ini masih kurang atau tidak dipedulikan di kebanyakan negara.

 

Menurut Agensi Pekerjaan PBB, kanak- kanak tersebut yang kebanyakannya perempuan hidup menderita di rumah majikan mereka kerana dilayan seperti hamba abdi.

 

Kajian yang dijalankan oleh ILO pula mendedahkan, hanya sebahagian kecil mereka dibayar gaji manakala kebanyakan yang lain tidak menerima apa-apa bayaran. Dan lebih menyedihkan lagi, apabila mereka dilayan atau dijadikan hamba seks.

 

“Ada pula di antara mereka yang hampir terlupa dengan nama masing-masing kerana terlalu biasa dengan panggilan boy atau girl,” kata laporan itu lagi.

 

Walaupun tidak menyebutkan nama negara yang terlibat secara spesifik, tetapi laporan berkenaan berdasarkan kes-kes di Amerika Latin, Asia dan Afrika Selatan.

 

Kanak-kanak ini memasak, membersihkan rumah dan menghantar anak-anak majikannya ke sekolah – antara perkara paling menyedihkan dialami oleh kanak-kanak malang terbabit, kata laporan itu.

 

Apabila usia semakin tua, mereka akan di halau keluar rumah begitu sahaja. Dan mereka terpaksa tinggal di tepi-tepi jalan kerana tidak mempunyai cara lain atau tidak tahu di mana keluarga mereka berada.

 

Dalam laporan tersebut menyebut, lebih kurang dua juta kanak-kanak bekerja sebagai orang gaji di Afrika Selatan, 559,000 di Brazil manakala 265,000 lagi di Pakistan.

 

Dalam masa sama, 700,000 kanak-kanak dikesan bekerja hanya di kota Jakarta, Indonesia sahaja, 300,000 di Dhaka, Bangladesh dan 150,000 di Lima, Peru.

 

“Malangnya, tidak banyak negara yang mahu melihat pekerja kanak-kanak ini sebagai satu masalah,” kata laporan itu.

 

Kisah kanak-kanak terpaksa bekerja dikaitkan dengan kemiskinan yang dialami oleh keluarga masing-masing. Kerana tiada pilihan lain, ibu bapa kanak-kanak terbabit hanya mampu menyerahkan anak mereka kepada pihak tertentu kerana tidak mempunyai wang untuk membeli bahan makanan. Harapan ibu bapa keluarga miskin ini hanya satu – agar nyawa anak-anak mereka dapat diselamatkan, biarpun masa depannya mungkin segelap mereka.

 

Meningkatnya jumlah kanak-kanak yatim yang dijangkiti AIDS dan tanggapan negatif tentang kedudukan wanita di kebanyakan negara juga mendorong kepada penglibatan kanak-kanak sebagai buruh.

 

Sementara itu, sebuah kumpulan pemerhati hak asasi manusia yang beribu pejabat di New York yang turut menjalankan kajian yang sama mendapati, di negara-negara Afrika Barat, Amerika Tengah dan Asia, kebanyakan kanak-kanak perempuan semuda usia lapan tahun terpaksa bekerja sehingga 15 jam atau lebih sehari, tujuh hari seminggu dengan bayaran tidak berpatutan atau lebih teruk, tanpa bayaran langsung.

 

Ketika ini terdapat kira-kira 218 juta kanak-kanak seluruh dunia yang terpaksa mengorbankan masa persekolahan mereka akibat kemelaratan keluarga. Hampir separuh daripada mereka dikatakan dipaksa terlibat dengan aktiviti pelacuran dan menjadi hamba abdi.

 

Dalam hal ini, anak miskin seperti Moraes mungkin bertuah kerana terpilih sebagai salah seorang peserta program anjuran badan antarabangsa seperti PBB. Namun, jika dibandingkan dengan jutaan lagi kanak- kanak yang memerlukan perhatian, Moraes mungkin kes terpencil yang berjaya merasai perubahan hidupnya.

 

Dan sebagai masyarakat dunia, tanggungjawab kita ialah melahirkan lebih ramai anak-anak seperti Moraes.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: