Majikan berkuasa ambil tindakan disiplin

9 11 2007

SAYA sekarang ini menghadapi masalah disiplin pekerja. Apakah hak saya sebagai majikan terhadap pekerja-pekerja yang mempunyai masalah disiplin ini? Kalau diikutkan, mereka telah diberi surat amaran supaya menjaga tahap disiplin dan cuba mengubah cara mereka bekerja.

 

Apakah yang sepatutnya saya lakukan untuk menamatkan khidmat pekerja yang terlibat? Ini kerana jika khidmat mereka terus ditamatkan tanpa alasan munasabah, mereka akan mengadu kepada Jabatan Tenaga Kerja. Apakah hak saya sebagai majikan untuk menukar waktu bekerja? Contohnya: 9.00 pagi hingga 5.00 petang (Isnin-Jumaat). 9.00 pagi hingga 1.00 petang ( Sabtu)

 

Ini adalah kerana pekerja-pekerja ini akan ‘punch card’ pukul 9.00 pagi dan selepas itu mereka akan pergi minum dan hal-hal lain lagi. Jadi, waktu bekerja sebenar adalah lebih kurang pukul 10.00 pagi. Saya ingin menukar waktu bekerja kepada 8.30 pagi hingga 5.30 petang (Isnin – Jumaat) dan 8.30 pagi hingga 1.00 petang (Sabtu).

 

– INGIN TAHU.

 

Sebagai seorang majikan, anda harus menentukan prosedur tindakan disiplin yang sewajarnya diambil sebelum suatu hukuman tatatertib termasuk pembuangan kerja boleh dikenakan ke atas seseorang pekerja. Anda dinasihat untuk memberi surat tunjuk sebab kepada pekerja yang dituduh melakukan sesuatu kesalahan tatatertib. Jika sekiranya penjelasan pekerja berkenaan dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab tersebut adalah tidak memuaskan, suatu siasatan dalaman (domestic inquiry) harus diadakan untuk memberi pekerja tersebut peluang membela diri. Jika panel siasatan dalaman mendapati pekerja berkenaan bersalah, anda sebagai seorang majikan bolehlah mengenakan hukuman tatatertib terhadapnya termasuklah pembuangan kerja jika kesalahan yang dilakukan adalah serius.

 

Pada pandangan kami, cadangan penukaran waktu kerja di tempat pekerjaan anda tidak tentu akan mengatasi masalah pekerja-pekerja “pergi minum dan lain-lain hal lagi “selepas merakamkam kad perakam waktu mereka. Anda dinasihat untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pekerja yang didapati tidak berada di tempat kerjanya tanpa sebab yang munasabah semasa waktu kerja. Cadangan anda untuk penukaran waktu kerja melibatkan tambahan bilangan jam kerja harian. Oleh itu, anda perlu mendapatkan persetujuan pekerja-pekerja anda untuk penukaran penambahan waktu kerja harian berkenaan. Sebagai majikan anda boleh mengubah waktu mula dan berakhir bekerja tetapi tidak boleh menambah jam bilangan bekerja.

 

Saya mempunyai kemusykilan tentang cuti bersalin adakah selama 60 hari atau 45 hari sahaja. Majikan saya hanya memperuntukkan 45 hari bagi kakitangan wanita yang bersalin. Adakah ini melanggar akta yang diguna pakai di negara kita. Jika ya, apa yang perlu saya lakukan memandangkan saya dijangka bersalin pada Julai nanti.

 

– BAKAL IBU.

 

Seseorang pekerja wanita yang diliputi di bawah Akta Kerja 1955 adalah layak menerima cuti bersalin dan elaun bersalin selama 60 hari berturut-turut jika beliau dapat memenuhi syarat-syarat tertentu yang diperuntukkan dalam akta. Jika anda diliputi di bawah Akta Kerja 1955, anda adalah dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja yang berdekatan jika anda diberi cuti bersalin kurang dari 60 hari. Bagi pekerja yang tidak diliputi di bawah Akta Kerja 1955 pula, faedah bersalin adalah tertakluk kepada peruntukan terma-terma dan syarat-syarat pekerjaannya.

 

Saya adalah seorang kakitangan berjawatan pembantu teknikal bergaji melebihi RM1,500 sebulan di sebuah jabatan berkanun yang diswastakan sejak Julai, 2006. Saya telah berkhidmat dalam kerajaan melebihi 12 tahun. Sebelum diswastakan, saya telah diluluskan elaun memangku berkuat kuasa Jun 2006 bagi jawatan jurutera dengan bayaran RM453 (iaitu satu per empat daripada gaji asas jurutera (kerajaan)). Seterusnya bagi Julai 2006 iaitu selepas diswastakan, bayaran elaun memangku telah diteruskan tetapi setakat RM300 sahaja (iaitu satu per empat daripada gaji asas jurutera (syarikat)). Sehingga kini saya masih lagi menjalankan pemangkuan bagi jawatan berkenaan.

 

Buat pengetahuan tuan juga, surat kelulusan yang telah dikeluarkan kepada saya adalah atas memangku jawatan pengurus yang mempunyai gaji asas sebanyak RM2,500 dalam syarikat dan bayaran RM300 yang dibuat kepada saya adalah berdasarkan gaji asas jawatan penolong pengurus iaitu RM1,200 sahaja.

 

Soalan saya ialah adakah saya layak untuk mendapat elaun lebih tinggi lagi berdasarkan gaji asas jawatan yang saya pangku.

 

– TERKILAN.

 

 

 

Amaun elaun memangku kerja yang sepatutnya dibayar kepada anda adalah tertakluk kepada kontrak perkhidmatan anda dengan badan berkanun yang telah diswastakan tersebut.

 

Jika anda berpendapat bahawa elaun memangku yang dibayar kepada anda adalah kurang daripada apa yang diperuntukkan dalam terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan anda dengan syarikat tersebut, anda boleh memfailkan tuntutan tunggakan elaun memangku. Tuntutan boleh dibuat di Jabatan Tenaga Kerja yang berdekatan di bawah Seksyen 69B Akta Kerja 1955 jika jumlah pendapatan anda tidak melebihi RM5,000 sebulan.

 

Anda mempunyai sebarang masalah sumber manusia?

 

Sila hantarkan soalan kepada:

 

Sekretariat,

 

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF)

 

P.O. Box 11026,

 

50732 Kuala Lumpur.

 

 

 

Faks: 03-92838629

 

E-mel: noremelia@utusan.com.my

 

Laman web: http://www.mef.org.my

Dipetik dari Utusan Malaysia Online


Tindakan

Information

One response

3 12 2007
Kamala devi

Akta kerja 1955 membekalkan perlindungan kedua-dua pihak majikan dan pekerja. bincangkan jenis-jenis perlindungan oleh akta ini. bincangkan kerberkesanan dan kesesuaian dengan perlindungan yang diberikan serta apakah kesan kesan akta ini kepada ekonomi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: