600 pemandu limo mogok

9 11 2007

SEPANG 7 Dis. – Para penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini kelam kabut apabila perkhidmatan Airport Limo Sdn. Bhd. (ALM) lumpuh setelah kira-kira 600 pemandunya melancarkan mogok dan mengancam meletakkan jawatan beramai-ramai.

 

Tindakan itu yang dijangka berlarutan sehingga esok diambil setelah mereka mendakwa pihak pengurusan membelakangkan kebajikan mereka.

 

Mogok yang dilancarkan sejak pukul 7 pagi itu telah mengakibatkan ramai penumpang terpaksa berbaris panjang.

 

Bagaimanapun, keadaan mulai terkawal pada sebelah petang apabila Malaysia Airports Berhad (MAB) meminta bantuan teksi bandar dan limousin dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, untuk membawa keluar penumpang dari situ.

 

Selama mogok itu, para pemandu terbabit telah meletakkan kenderaan mereka di sepanjang dua kilometer di Jalan Dagang di sini menuju ke depot syarikat berkenaan.

 

Mereka turut bertindak menyekat dan menahan mana-mana teksi lain yang cuba mengambil penumpang di lapangan terbang tersebut. Mogok itu dijangka berlarutan sehingga esok.

 

ALM pada masa ini mempunyai 854 pemandu dengan 757 limousin.

 

Jurucakap mereka, Jamaluddin Wahab mendakwa, mogok tersebut diadakan kerana para pemandu sudah hilang sabar dengan sikap majikan yang didakwanya sering ‘menindas’ pekerja.

 

”Ada terlalu banyak masalah yang timbul serta membebankan pekerja. Pekerja hanya mahu kebajikan mereka dijaga,” katanya kepada pemberita di sini.

 

Jamaluddin berkata, terdapat terlalu banyak masalah yang telah diadukan kepada syarikat terbabit namun sehingga kini ia gagal diselesaikan.

 

Antaranya, dakwa beliau, para pemandu tidak dibayar wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), keperluan cuti perayaan diabaikan, tidak dibayar kerja lebih masa.

 

Tambah beliau, sepanjang ALM mengendalikan perkhidmatan limousin, banyak kelemahan dan kontroversi lain yang timbul termasuk melibatkan tindakan disiplin terhadap pemandu.

 

”Jika masalah ini tidak selesai, mogok ini akan diteruskan lagi sehinggalah kerajaan campur tangan untuk menyelesaikannya,” kata beliau.

 

Beliau juga mengancam jika masalah itu terus berterusan, para pemandu ALM tidak menolak kemungkinan akan meletakkan jawatan beramai-ramai.

 

Pemandu-pemandu yang protes itu turut mempamerkan sepanduk dan kain rentang yang antara lain berbunyi IF’Kami punya hak untuk bekerja’, ‘Pekerja positif negara sihat’NF dan IF’Jangan abaikan hak kami sebagai rakyat Malaysia.’NF

 

Selain itu mereka juga melaungkan perkataan seperti ‘tukar syarikat’ dan ‘bela kebajikan pekerja’ berulang kali.

 

Pengarah Urusan ALM, Badardin Ahmad pula menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pemandu yang melancarkan mogok itu berdasarkan sejauh mana seriusnya pembabitan mereka.

 

Katanya, mogok haram itu adalah jelas melanggar peraturan syarikat serta persefahaman yang telah dipersetujui antara mereka sebelum ini.

 

”Kita sedang kaji tindakan disiplin yang sesuai dikenakan sama ada keras, sederhana, ringan atau lepaskan sahaja mereka,” katanya.

 

Bagaimanapun, Badardin percaya mogok tersebut tidak akan menjejaskan operasi syarikat berkenaan walaupun imej ALM dan negara terjejas.

 

Badardin seterusnya berkata, ALM tidak bimbang sekiranya pemandu berkenaan meletakkan jawatan kerana ada ramai yang memohon untuk bekerja dengan syarikat tersebut.

 

Tambahan pula, ujarnya, jumlah pekerja yang terbabit ‘adalah kecil’ iaitu sekitar 20 hingga 25 peratus sahaja.

 

Beliau menafikan pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh pemandu-pemandu terbabit.

 

Misalnya, kata Badardin, pihaknya telah membayar wang caruman KWSP seperti yang ditetapkan dan tidak sesekali menggunakan taktik jahat dalam menangani masalah pekerja.

 

Badardin mencabar agar para pemandu yang tidak puas hati dengan cara pengurusan syarikat itu agar meletakkan jawatan.

 

”Jalan mudah kalau tak puas hati ialah berhenti kerja. Tak perlu tunjuk perasaan atau mogok,” katanya.

 

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES dan NORIZAN ABDUL MUHID

Dipetik dari Utusan Malaysia Online (2000)


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: