Remaja dituntut menghidupkan jiwa pengorbanan

10 11 2007

Oleh: DR. SIDEK BABA

 

PENGORBANAN adalah suatu amalan mulia bagi seseorang. Sejarah kejayaan orang terdahulu adalah dengan pengorbanan. Jejak perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat penuh dengan perjuangan dan pengorbanan. Kisah Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim yang reda dengan perintah Allah adalah lambang keagungan suatu pengorbanan. Landasan pengorbananlah yang menyebabkan manusia melakukan perubahan, menempa kemajuan dan akhirnya mampu membina peradaban.

 

 

 

Para remaja hari ini amat perlu memiliki jiwa pengorbanan. Rasulullah s.a.w. pada masa mudanya mengorbankan masa dengan menjaga kambing dan membawa barang dagangan Saidatina Khadijah untuk diniagakan. Saidina Ali sejak zaman anak mudanya lagi sudah terlibat dalam perjuangan dan pengorbanan terhadap menegakkan risalah kebenaran. Beliau sanggup menjadi galang ganti di tempat tidur Rasulullah s.a.w. sewaktu Nabi memulakan misi hijrah.

 

 

 

Menghidupkan jiwa pengorbanan ke dalam diri adalah suatu tuntutan. Realiti mewah, selesa dan membangun hari ini boleh menjadikan remaja alpa dengan keadaan, pergaulan, hiburan dan gaya hidup. Remaja boleh memilih untuk terus unggul dalam cita-cita dan perjuangan hidup. Dan remaja juga boleh memilih untuk terus dibelenggu dengan jiwa santai, tiada perancangan hidup, kerdil cita-cita dan tandus dengan jiwa perjuangan. Pilihan ini adalah penting bagi menentukan hidup remaja, hidup bangsa dan umatnya.

 

Tahap keremajaan adalah pusingan hidup yang amat mencabar. Di tahap ini remaja amat ideal dengan sesuatu, ingin melakukan sesuatu seperti apa orang lain lakukan, rasa ingin mencuba yang tinggi dan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan, memiliki jiwa memperaga yang hebat malah kadang-kadang diulit perasaan ‘memberontak’ yang meluap-luap. Sekiranya sifat-sifat asasi ini berada dalam olahan yang negatif ia bakal menggelapkan hari depan remaja. Sebaliknya jika sifat-sifat ini dibentuk dengan nilai-nilai perjuangan dan pengorbanan yang positif, ia bakal membimbing remaja menjadi tenaga dewasa yang mempunyai potensi besar untuk maju dan berjaya.

 

 

 

Pengorbanan di tahap ini bermaksud apa saja yang remaja ingin lakukan harus dapat difikirkan baik buruknya. Umpamanya, pergaulan yang lepas bebas tanpa batasan boleh menjebak remaja kepada masalah. Pergaulan yang berhemah membolehkan remaja memilih yang mana satu kawan dan yang mana satu sahabat.

 

 

 

Contoh lain ialah amalan merokok dan akhirnya mengambil dadah adalah suatu bencana besar bagi remaja malah proses pembinaan generasi hari depan akan menjadi rosak disebabkan potensi remaja telah dikorbankan secara negatif. Remaja terdorong untuk menghisap rokok atau mengambil dadah disebabkan rasa ingin mencuba, memiliki identiti, pengaruh kawan, mengatasi tekanan, atau ingin berseronok. Ketahanan jiwa remaja di peringkat ini hampir kosong. Apa yang difikirkan ialah keseronokan tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal ditanggung. Di sini perlunya pengorbanan dihubungkan dengan hari depan para remaja.

 

 

 

Ketagihan merokok dan dadah bukanlah suatu benda yang baru. Kesan-kesan negatif amalan tersebut sering menjadi bahan umum khususnya terhadap para remaja. Tetapi sebahagian remaja melihatnya secara enteng, ghairah mengambil dan terus mencuba. Akhirnya ketagih dan tidak dapat lari daripadanya. Di tambah pula dengan kegilaan kepada hiburan popular yang merangsang nafsu-nafsi, terlibat dengan pergaulan bebas, terjebak dengan amalan seks bebas, bertukar-tukang pasangan dan akhirnya terdampar di Pusat Serenti atau di lokap-lopak malah lebih serius lagi ialah menjadi mangsa AIDS/HIV.

 

 

 

Para remaja harus ada rasa sayang pada diri, pada keluarga, pada bangsa dan umat. Penjajahan minda bermula, bila remaja dihinggapi jiwa selesa dan suka berpoya-poya. Remaja akan kehilangan arah, bercelaru dan akhirnya mati cita-cita dan mati perjuangan. Dorongan nafsu-nafsi dan naluri akan dilihat lebih bertenaga daripada dorongan akal dan hati yang mulia . Keadaan seperti ini apabila dipengaruhi oleh dunia hiburan yang merangsang nafsu-nafsi, filem-filem ganas, tahyul dan lucah, ia mempengaruhi remaja untuk terus khayal dengan imaginasi kosong dan tidak berjejak di alam nyata.

 

Soalnya apabila remaja terjebak dengan amalan negatif itu jalan kembalinya sudah tidak ada. Akhirnya timbul sesal yang tidak sudah dan keadaan ibarat nasi sudah menjadi bubur. Remaja tidak lagi jadi aset sebaliknya liabiliti. Ia amat merugikan umat dan negara.

 

Kepentingan jiwa pengorbanan perlu dikaitkan bagaimana ramai para remaja menghancurkan hidupnya di umur masih awal. Kesan jangka panjangnya ialah kehancuran bangsanya sendiri. Jiwa pengorbanan harus dapat mengajak remaja berfikir betapa tanpa generasi muda yang berbakat, memiliki daya juang yang tinggi, pentingkan ilmu pengetahuan, tidak mudah terjebak dengan perangkap hidup yang membinasakan, tahu membezakan baik-buruk dan halal-haram sesuatu dan sentiasa ingat bahawa ‘pelanduk sering melupakan jerat sedangkan jerat tidak pernah lupa kepada pelanduk’.

 

 

 

Jiwa pengorbanan harus mengajak remaja mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu untuk membebaskan negara dari belenggu penjajahan, ibu bapa yang bersusah payah membesar dan menyekolahkan kita supaya remaja bakal menjadi orang yang menyumbang kepada pembangunan negara dan umat. Akhirnya memperkasa bangsa dan umat menjadi orang yang berwibawa, dihormati, dirujuk ilmu dan kepakarannya..

 

 

 

Pada prinsipnya agama Islam tidak menolak kepentingan pergaulan, hiburan, komunikasi, menampilkan bakat dan kebolehan, bercita-cita tinggi dan sebagainya. Tetapi Islam memberikan pedoman dan batasan supaya aktiviti dan kreativiti remaja tidak melampaui batas, menepati

 

keperluan syarak di samping mengisi fitrah berhibur, berseni, berkawan dan menguji bakat dan kebolehan. Pengorbanan yang dituntut ialah elakkan elemen-elemen maksiat, mungkar, subahat dan dosa.

 

Para remaja harus memiliki keinsafan bahawa kita diciptakan oleh Allah s.w.t. mempunyai misi dan risalah. Para remaja harus mampu membina jiwa kehambaan yang tinggi dengan mendidik jiwa patuh dan taat terhadap sesuatu yang baik dan bermanfaat. Allah jadikan alam, planet, sistem solar dan sistem-sistem lain dalam alam ini berasaskan kepatuhan dan ketaatan masing-masing terhadap ketentuan-Nya atau sunnatullah. Darinya berlaku ketertiban, ketepatan, keseimbangan dan sistem dan hal yang sama juga harus ada pada manusia khususnya remaja supaya sesuatu yang kita lakukan adalah atas dorongan jiwa kehambaan yang tinggi supaya watak kekhalifahan nanti mampu mengurus hidup, rahmah dan nikmat Allah yang banyak dengan amanah yang tinggi terhadap pedoman dan titah perintah Allah s.w.t..

 

Mengorbankan diri daripada runtunan hawa nafsu yang jelik adalah suatu jihad. Memahami batas buruk dan baik akan sesuatu memerlukan ilmu. Menginsafi bahawa bangsa dan umat sedang menghadapi pertarungan sengit terhadap faktor globalisasi dan penjajahan bentuk baru suatu tuntutan. Dan membuat persiapan yang tersusun rapi dalam saf-saf yang tangkas dan bijaksana menuntut ilmu, latihan dan keterampilan. Inilah fokus pengorbanan yang harus dimiliki oleh remaja. Percayalah jika remaja tidak melakukan pengorbanan merancang hari depan yang lebih dihormati tunggulah perancangan musuh yang ingin menghancurkan generasi dan umat kita dalam keadaan yang amat hina.

 

* Prof. Dr. Sidek Baba ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).





Kemahiran berfikir perlu pendedahan sejak zaman remaja

10 11 2007

Oleh: DR. SIDEK BABA

 

KEMAHIRAN berfikir adalah sesuatu yang amat fundamental dalam kemajuan sesuatu negara dan bangsa. Bangsa Yunani terkenal melahirkan ahli-ahli fikir dan sekali gus menghasilkan karya-karya besar.

 

Pemikir seperti Aristotle, Plato, Socrates dan lain-lain, pemikirannya dikaji sehingga kini. Hal yang sama berlaku dalam ketamadunan Islam yang melahirkan pemikir-pemikir besar dalam banyak bidang. Orang-orang seperti Ibn Nafis, Ibn Sina, al Batani, al Khwarizmi, al Biruni, al Zahrawi, ibn Khaldun, ibn Taimiyyah, Shah Waliyullah dan lain-lain adalah pemikir, pengkaji dan saintis pada zamannya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan manusia dan tamadun. Kekuatan yang ada pada mereka bermula dengan tradisi berfikir yang menghasilkan ilmu dan karya.

 

Kemahiran berfikir harus didedahkan kepada generasi muda sejak zaman remajanya lagi. Kecenderungan al Farabi, al Kindi, Ibn Rushd berfikir bermula sejak umur remaja lagi. Bermula dengan mendekati dan meneliti al Quran, menguasai aspek-aspek bahasa dan tafsir sehinggalah mendekatkan mereka dengan ilmu-ilmu falsafah, matematik, astronomi dan muzik adalah gambaran tradisi berfikir yang cemerlang berlaku di kalangan mereka. Dewasanya mereka menghasilkan karya-karya besar untuk kajian dan tatapan manusia berzaman-zaman.

 

Berfikir sebagai suatu kemahiran perlu disuburkan di kalangan remaja. Tempoh remaja adalah tempoh yang amat berpotensi membentuk kemahiran berfikir supaya potensi akliah atau mindanya dapat berkembang dengan subur dan baik. Remaja tidak seharusnya di dedah dengan pendekatan mengingat dan menghafaz saja. Ia juga penting sebagai suatu cara merakam maklumat dan ilmu. Tetapi lebih penting lagi ialah bagaimana maklumat dan ilmu dapat difahami dan diaplikasikan kepada diri dan juga diluar diri. Ia sudah tentu menuntut upaya atau kemahiran berfikir.

 

Kemahiran berfikir amat perlu bagi remaja supaya sudut pandangannya menjadi luas dan mantap. Oleh kerana sifat ilmu dan maklumat adalah berkembang, pemikiran remaja tidak harus statik, beku dan jumud dalam tahap-tahap tertentu sedangkan perkembangan maklumat dan ilmu di sekitarnya berkembang dengan laju. Dalam gelombang perkembangan maklumat yang digerakkan oleh teknologi para remaja harus berkemampuan menyaring yang mana baik dan bermanfaat atau yang mana sebaliknya. Kemahiran berfikir boleh membantu.

 

Apa yang penting bagi remaja ialah kenal pasti potensi, minat dan kecenderungan terhadap bidang-bidang ilmu dan keahlian kemudian latih diri dengan kemahiran berfikir yang sistematik. Maksud berfikir yang sistematik ialah bagaimana pemerhatian, pengkajian, dapatan, penemuan yang dilalui oleh remaja baik dalam hal-hal akademik dan kerja saintifik, mahupun khazanah pengalaman dan pemerhatian mencetuskan daya fikir, perasaan ingin tahu yang tinggi, kecenderungan melihat dalam perspektif yang berbeza, memperkayakan persepsi, tafsir dan taawil terhadap sesuatu adalah jalan-jalan yang menghasilkan kemahiran berfikir.

 

Remaja di peringkat awal membina kemahiran berfikir harus peka dan sensitif terhadap sesuatu. Ia mendorong rasa ingin tahu yang tinggi. Dorongan ingin tahu harus diikuti dengan pembacaan, perkongsian ilmu dan maklumat, melakukan analisis, mendapatkan maklumat-maklumat berbanding dari sumber-sumber lain kemudian meletakkan sesuatu subjek atau isu dalam persepktifnya. Apabila sesuatu itu berada dalam perspektifnya maka barulah asas pemikiran diletakkan dan subjek itu boleh dilihat secara kritikal, kreatif, reflektif, lateral, analitis, evaluatif dan sebagainya.

 

Melihat dan menanggapi sesuatu berasaskan perspektif pemikiran boleh menambahkan lagi kesuburan ilmu, menjadikan maklumat berkembang, pendapat diperkayakan dan akhirnya data dan fakta yang diperolehi menjadi lebih tersaring dan rumusan ke arah sesuatu akan menjadi lebih baik. Ia sangat penting memandu remaja berfikir dengan lebih tepat, baik dan sempurna. Ia boleh menyebabkan remaja berfikir dengan kualiti.

 

Pada hari ini ramai remaja yang tidak berfikir. Sesuatu itu dilihat secara pergi dan datang tanpa kecenderungan untuk berfikir baik atau buruknya. Sesuatu yang datang dalam hidupnya baik yang bercorak maklumat, hiburan, senikata, bahan pembacaan dan tontonan lebih banyak yang mengisi keperluan naluri dan nafsu. Sekiranya para remaja tidak dibina asas dirinya menjadi remaja yang baik dan berakhlak unsur hiburan dan berpoya-poya sangat digemari. Remaja jenis ini jarang berfikir tentang baik buruk, bermanfaat atau pun tidak akan sesuatu itu, sebaliknya menjadi pengguna setia hingga akhirnya menyebabkan para remaja terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dan terlibat dengan perbuatan yang melampaui batas.

 

Dalam tradisi Islam kemahiran berfikir sentiasa dihubungkan dengan faktor zikir. Zikir di sini harus dilihat dalam erti kata yang luas. Zikir bukan hanya menyebut nama Allah atau kebesarannya tetapi zikir dalam konteks fikir mengajar remaja memahami faktor kewujudan Allah dengan tanda-tanda kebesaran-Nya. Allah s.w.t adalah sesuatu yang ghaib. Adanya alam ini, seluruh kejadian yang ada, rahmah dan nikmat yang melimpah, diberikan roh kepada manusia supaya manusia mampu berfikir, merasa dan memilik nilai dalam aplikasi hidup.

 

Remaja di peringkat awal umur lagi jangan hanya berfikir terhadap benda-benda yang wujud dan tampak semata-mata. Sesuatu yang wujud dalam alam dan kehidupan ini tidak semestinya maujud dalam bentuk yang nyata dan tampak. Roh yang ada pada tubuh remaja sendiri adalah sesuatu yang ghaib. Tetapi ia wujud pada diri dan memperkasa akal dan hati. Tanpa roh jasad, akal dan rohani tidak akan memberi makna apa-apa. Pemikiran pokoknya ialah siapa yang mencipta roh itu. Al-Quran memberikan pertunjuk bahawa roh itu adalah ciptaan Allah dan yang diketahui oleh manusia tentang roh adalah amat sedikit.

 

Akal adalah anugerah Allah yang amat berharga. Dari akal membolehkan remaja mengingat dan menghafaz. Dari akal juga menyebabkan pemikiran berkembang dan daya taakulan terjadi. Berfikir adalah suatu proses dan apa yang difikir menjadi sumber maklumat dan ilmu kepada remaja. Tetapi upaya pemikiran remaja terbatas sedangkan alam dan kehidupan yang amat luas ini sifatnya tidak terbatas. Remaja memerlukan pedoman. Al-Quran sebagai kalam Allah memberikan kita pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib. Darinya remaja belajar memberi perimbangan mengenai pertunjuk, pedoman dan pertanda dari Allah untuk manusia tahu dan darinya manusia dapat mengukuhkan jiwa kehambaan yang tinggi supaya kepatuhan dan ketaatan yang ada membolehkan remaja hidup dalam keadaan yang fitrah. Kalau tidak pemikiran remaja akan berkembang secara pemikiran orang Barat yang sebahagiannya tidak percaya kepada konsep Penciptaan dan menolak konsep ghaib sebagai dogma dan dihubungkan sebagai tidak rasional dan tidak saintifik.

 

Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang khusus tentang sains. Ulama dan ilmuan Islam pada masa terdahulu berfikir berpandukan zikir iaitu menghubungkan Allah sebagai Pencipta. Sedikit kebesaran dan kehebatan hasil ciptaan-Nya dikaji oleh manusia dalam mengurus hidupnya. Bagi yang tidak beriman merasakan apa yang ditemui dan didapati dianggap ia hasil kajian saintifik manusia sedangkan bagi pemikir dan saintis Islam ia adalah tanda kebesaran Allah yang menciptakan segala sesuatu dan manusia hanya dapat menemui sedikit rahmah, hikmah dan nikmat-Nya. Dari situ manusia memiliki rasa syukur yang tinggi.

 

Para remaja Islam perlu bersikap kreatif, inovatif dan kritikal terhadap sesuatu fakta dan data. Tetapi daya kreatif, inovatif dan kritikal jangan sampai kita menolak faktor zikir hingga menyebabkan remaja kehilangan arah dan pedoman dan akhirnya menolak Tuhan dan agama. Faktor zikir adalah faktor yang memandu remaja dekat dengan kebenaran dan faham tentang fitrah kejadian. Oleh itu berfikir tanpa landasan boleh menyebabkan remaja hilang arah. Berfikir menolak fitrah kejadian akhirnya menyebabkan remaja menolak fitrah kejadian. Berfikir secara Qurani akan membimbing remaja ke arah kebenaran yang hakiki. Kebenaran hakikilah yang menjadi pedoman terbaik memandu remaja membina peribadi yang fitrah.

 

* Prof. Dr. Sidek Baba ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.





Pekerja dari sudut berbeza

9 11 2007

Oleh MEGAT LUTFI

 

KAKITANGAN awam menunggununggu tarikh 22 Mei ini sama ada tuntutan mereka berkenaan dengan kenaikan gaji akan berjaya ataupun tidak.

 

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menjangkakan berita baik mengenai kenaikan gaji bagi 1.2 juta kakitangan awam yang akan diumumkan pada 22 Mei depan sempena sambutan Hari Pekerja di Putrajaya.

 

Dalam perkembangan lain, Jaringan Kesatuan Antarabangsa Majlis Perhubungan Malaysia (UNI-MLC) menyerahkan satu memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keperluan elaun sara hidup (COLA) bagi pekerja swasta .

 

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak ketinggalan menggesa kerajaan menimbang semula cadangan memperkenalkan skim gaji permulaan untuk pekerja sektor swasta. Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) pula menggesa kerajaan meluluskan segera cadangan permohonan cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan awam.

 

Dalam kehidupan dunia pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa manusia memerlukan antara satu sama lain. Interaksi di antara sesama manusia yang saling memerlukan ini antara lain akan mewujudkan akad pekerjaan.

 

Tuntutan-tuntutan yang dipaparkan di atas menunjukkan bahawa sehingga saat ini masalah ketidakpuasan hati pihak pekerja kepada majikan terus berlangsung tanpa penghujungnya, dan persoalan utamanya berputar di sekitar masalah gaji dan upah. Keadaan ini adalah suatu lumrah di dalam kehidupan sistem kapitalisme, sebagai sebuah ideologi kotor buatan manusia, di mana hak-hak pekerja sering terabai dan dinafikan oleh pihak majikan.

 

Dalam masa yang sama, walaupun tidak banyak, hak-hak majikan juga sebenarnya sering dicabuli dan dilanggar oleh pihak pekerja. Kes-kes seperti tidak siapkan kerja, tipu majikan, menggunakan barang pejabat untuk keperluan peribadi, ponteng kerja, beli sijil cuti sakit (MC) dan lain-lain bentuk penipuan adalah fenomena biasa di sesebuah pejabat.

 

Dalam sistem kapitalisme, kepentingan pihak pekerja dan majikan selalunya sering bertentangan, walaupun asas mereka adalah sama iaitu ‘mendapatkan sebanyak-banyak manfaat’. Pihak pekerja hanya akan mendapat manfaat yang banyak jika diberi gaji yang tinggi, elaun, bonus, tuntutan, cuti, insentif dan seumpamanya.

 

Bagi majikan pula, mereka akan mendapat manfaat yang banyak jika gaji yang dibayar kepada pekerja adalah rendah, tiada elaun, tiada bonus, cuti yang sedikit, tiada insentif dan sebagainya.

 

 

 

Keuntungan

 

Manfaat atau keuntungan yang maksimum akan diperoleh oleh majikan apabila pekerja mereka dapat dimanipulasi habis-habisan. Justeru, persoalan untuk memperoleh sebanyak mungkin manfaat (yang menjadi asas kepada erti kebahagiaan di dalam ideologi kapitalis) menyebabkan medan pertempuran di antara majikan dan pekerja semakin membesar.

 

Seseorang pekerja akan sanggup berhenti dan majikan pula akan sanggup memberhentikan pekerja bila mana mereka bertelagah dalam ‘perjuangan merebut manfaat’ ini. Pendek kata, perebutan manfaat yang berlaku sering menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan bertindak mengikut perasaan.

 

Akibatnya, pihak-pihak ini tidak lagi merujuk kepada kontrak dan akad yang telah disepakati di dalam menyelesaikan masalah yang timbul, sebaliknya menggunakan emosi.

 

Syariat Islam memandang bahawa pekerja (ajir) adalah setiap orang yang bekerja untuk orang lain dengan imbalan upah/gaji (ujr) tertentu sama ada dia berkerja untuk individu tertentu, orang ramai mahupun negara sebagai majikan (musta’jir)nya. Terdapat dua jenis pekerja di dalam Islam yakni pekerja khas (ajir al-khas/private labour) dan pekerja am (ajir al-am/common labour).

 

Secara ringkasnya, ajir al-khas adalah mereka yang bekerja dengan majikan tertentu untuk suatu tempoh masa dan gaji/upah yang tertentu seperti pekerja kilang, pekerja ladang, kakitangan kerajaan dan sebagainya.

 

Ajir al-am pula adalah mereka yang bekerja untuk semua orang (bukan untuk majikan tertentu sahaja) dengan mendapat gaji/upah daripada pekerjaannya, contohnya tukang kayu, tukang jahit, doktor swasta, pemandu teksi, mekanik dan sebagainya.

 

Islam tidak pernah memandang golongan pekerja sebagai golongan bawahan dan majikan itu golongan atasan, sebagaimana Islam juga tidak pernah meletakkan golongan pekerja perlu diberi layanan istimewa oleh golongan majikan. Sebagai sebuah deen yang syumul.

 

Islam tidak pernah membezakan kedua-dua golongan ini mengikut darjat masing-masing, sama ada mereka ini berpangkat rendah ataupun tinggi, kaya ataupun miskin, lelaki mahupun wanita.

 

Selagi mana mereka bekerja dan mendapat upah daripada orang lain (musta’jir), maka kesemuanya adalah ajir (pekerja). Hubungan yang wujud di antara mereka adalah hubungan pekerja-majikan (ajir-musta’jir) yang mana kedua-duanya adalah terikat dengan akad/kontrak pekerjaan (ijarah) yang telah mereka tandatangani, selama mana akad itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. Jadi, baik ajir atau musta’jir, mereka wajib terikat dengan hukum-hukum ijarah Islam tanpa sebarang pengecualian.

 

Transaksi ijarah di antara musta’jir dengan ajir mestilah dibangunkan di atas akad yang jelas, di mana jika ini tidak berlaku maka akad ijarah mereka hukumnya adalah rosak (fasid). Oleh yang demikian, Islam telah mensyaratkan bahawa dalam satu akad ijarah, hendaklah ditentukan terlebih dahulu bentuk/jenis pekerjaannya, waktu kerja, tempoh, gaji, bidang tugas dan segala yang berkaitan dengan pekerjaan tersebut.

 

Setelah terjadi kesepakatan atau persetujuan di antara ajir dan musta’jir maka barulah terjadinya transaksi/akad. Selanjutnya kedua-dua belah pihak wajib mentaati hasil kesepakatan tersebut sampai batas waktu yang telah disepakati itu dan pelanggaran terhadap akad itu oleh mana-mana pihak adalah satu bentuk pengkhianatan dan dosa.

 

Kesimpulannya, di dalam sebuah akad ijarah, baik ajir mahupun musta’jir, kedua-duanya bekerjasama dalam rangka menunaikan akad yang telah disepakati sekali gus mematuhi hukum syara’ yang berkaitan dengannya. Masing-masing ada hak dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Jadi, mana-mana pihak tidak boleh menuntut perkara-perkara yang tidak diakadkan.

 

Sebagaimana disebutkan, persoalan gaji biasanya menjadi sebab utama pertikaian di antara ajir dan musta’jir. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir majikan tidak membayar gaji kepada pekerjanya mengikut yang telah dipersetujui. Hal ini sudah tentu menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati pekerja.

 

Mengikut syarak, tangga gaji di dalam transaksi ijarah mestilah jelas sebab penentuan gaji termasuk ke dalam faktor yang boleh menghilangkan kekaburan di dalam suatu transaksi. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila salah seorang di antara kalian mengontrak seorang ajir maka hendaklah ia memberitahu upahnya kepada ajir tersebut” [HR Daruquthni].

 

Imam Ahmad juga meriwayat sebuah hadis daripada Abi Sa’id bahawa Nabi s.a.w. melarang mengontrak seorang ajir sehingga upahnya menjadi jelas bagi ajir tersebut. Oleh kerana itu sebelum seorang ajir itu mula bekerja, maka mesti sudah terjadi kesepakatan tentang upahnya. Besarnya upah yang telah ditetapkan di dalam transaksi itu disebut sebagai upah yang sepadan (ajrun musamma) dan ia ditetapkan di atas kesepakatan dan kerelaan kedua-dua pihak.

 

Apabila gaji/upah dan lain-lain perkara telah pun dipersetujui di dalam akad ijarah, maka seorang ajir itu adalah terikat dari segi hukum syarak dengan akad tersebut, jadi dia tidak boleh lagi menuntut untuk mendapatkan kenaikan gaji/upah atau hal-hal lain yang menyalahi akad ijarahnya. Selama mana musta’jir mematuhi akadnya, maka ajir wajib bekerja dengan musta’jir tersebut tanpa apa-apa protes.

 

Jika kedua-dua mereka mematuhi syarat akad dan hukum syara’ di dalam ijarah ini, maka sudah pasti segala perselisihan dan ketidakpuasan hati tidak akan timbul. Jika wujud perselisihan sekalipun, kedua pihak wajiblah merujuk kembali kepada akad mereka dan hukum Allah berkenaan ijarah, bukannya dengan mengadakan protes, rapat umum, demonstrasi dan sebagainya.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online (2007)





Yakult Lady dilatih pikat pelanggan

9 11 2007

Wanita Jepun berusia 19 hingga 80 tahun selesa guna basikal pasarkan produk makanan terkemuka dari rumah ke rumah

OHAYOU gozimasu (Selamat pagi). Yakuruto no Chie Itohiya desu. (Saya Chie Itohiya dari Yakult). Tutur kata penuh kelembutan dan sopan mengiringi kemunculan Itohiya di depan pintu sebuah rumah di pinggir Tokyo.

Dalam keadaan hujan lebat, Itohiya yang memakai baju hujan menunaikan janjinya menghantar produk Yakult kepada pelanggan. Dari sebuah rumah, dia menolak basikalnya berisi muatan seberat kira-kira 30 kilogram ke sebuah rumah lain.

Itulah rutin setiap harinya demi mencari pendapatan tambahan membantu keluarga tanpa perlu keluar jauh dari rumah. Malah dalam kedinginan musim sejuk, Yakult Lady sepertinya tetap bertugas seperti biasa.

Ketika bekerja, anaknya yang masih kecil ditinggalkan di pusat penjagaan kanak-kanak yang disediakan di Pusat Yakult Lady Shinozaki, kawasan perumahan yang terletak kira-kira 20 kilometer di pinggir Tokyo.

Itohiya adalah antara kira-kira 43,000 wanita di Jepun bergelar Yakult Lady atau Wanita Yakult yang sejak 44 tahun lalu mewarnai perkhidmatan penghantaran rumah ke rumah syarikat pengeluar produk makanan terkemuka negara itu.

 

Rutin kerja mereka bermula jam 8.15 pagi dengan menghantar anak ke pusat penjagaan di Pusat Yakult Lady. Pada jam 8.30 pagi, penyelia memberi taklimat mengenai pelbagai perkara. Sebaik tamat, tanpa membuang masa membuat persediaan seperti memasukkan produk dalam beg di kenderaan masing-masing.

Tepat jam 9 pagi dan biasanya lebih awal, Yakult Lady bergegas ke kawasan pelanggan masing-masing. Kebiasaannya tugas berakhir kira-kira jam 2 petang.

Presiden Yakult Touto Sales Co, Hitoshi Sasaki, ketika taklimat di Pusat Yakult Lady Shinozaki, memberitahu media antara kriteria Yakult Lady ialah sihat, keluarga stabil dan ada masa lapang, terutama pada waktu pagi.

Adakah Yakult Lady perlu cantik menawan? Oh! Tidak. Paling penting ialah mempunyai personaliti menarik. Malah, katanya ada Yakult Lady berusia 80 tahun, manakala paling muda adalah gadis lepasan sekolah berusia 19 tahun.

Sebelum memulakan tugas, katanya mereka dilatih untuk memenangi hati pelanggan seperti bercakap dengan sopan.

Menyedari bahawa sesetengah Yakult Lady menghadapi masalah penjagaan anak, sebuah pusat jagaan anak-anak disediakan di pusat itu dengan dikenakan bayaran berpatutan, iaitu 5,000 Yen (RM147) sebulan. Walaupun bekerja sambilan, pendapatan yang diperoleh agak lumayan, iaitu secara purata 100,000 Yen (RM2,940).

Sasaki berkata, segala-galanya terpulang kepada Yakult Lady kerana mereka boleh menentukan pendapatan yang diingini dengan meningkatkan jualan.

Sejak diperkenalkan pada 1963, sistem ini terus bertahan, malah kira-kira 60 peratus daripada jualan Yakult di Jepun disumbangkan Yakult Lady, sekali gus menunjukkan sumbangan besar mereka terhadap kejayaan syarikat.

Apakah rahsia Yakult Lady hingga menjadi tenaga penggerak utama Yakult? Jawapannya terlerai apabila melihat cara mereka bekerja.

Ketibaan wartawan pelbagai negara dan pegawai kanan Yakult di Pusat Yakult Lady Shinozaki tidak memperlahankan kerja mereka.

Suasana sibuk terserlah kerana pada waktu pagi, mereka mengambil bekalan dari bilik sejuk dan memasukkan ke dalam beg khas yang dipasang pada basikal masing-masing. Kepantasan mereka bekerja mengagumkan.

Selepas satu taklimat ringkas oleh penyelia, Yakult Lady bergegas ke basikal masing-masing. Berbekalkan baju hujan, mereka memulakan tugas harian dengan mengayuh basikal dan ada juga yang menolak basikal.

Penulis bersama seorang rakan wartawan dan dua pegawai Yakult mengikuti seorang Yakult Lady bertugas di kawasan berhampiran pusat itu. Berbekalkan payung, Itohiya menolak basikalnya dengan pantas hingga tidak terkejar.

Kami terpaksa meminta dia memperlahankan kepantasannya. Selepas menekan loceng, tuan rumah keluar dan berbual ringkas, produk Yakult beralih tangan.

Walaupun tidak mengikutinya hingga penamat, sedikit sebanyak gambaran etika kerja Yakult Lady dapat dirasai.

Bagi Yakult, penghantaran produk Yakult bukan sekadar menjual, tetapi menyampaikan sendiri ke tangan pelanggan yang mencerminkan hasrat meningkatkan tahap kesihatan pelanggan dengan menggunakan produk syarikat.

Penghantaran secara langsung kepada pelanggan mencerminkan kejujuran terhadap kebaikan produk dan manfaat yang bakal diperoleh.

Paling utama, tugas Yakult Lady bukan hanya menghantar produk, tetapi menjalin hubungan peribadi dengan pelanggan, sekali gus memberi maklumat dan nasihat mengenai produk.

Kejayaan Yakult Lady di Jepun menyebabkan pendekatan serupa diperkenalkan di seluruh dunia. Walaupun diasaskan di Jepun, falsafah dan prinsip penubuhannya yang universal menyebabkan sistem ini diterima di negara lain.

Setakat ini, sebanyak 15 negara lain mempunyai Yakult Lady. Malah di Thailand dan Korea Selatan, produk Yakult dipasarkan 100 peratus oleh Yakult Lady.

Yakult Malaysia tidak ketinggalan memperkenalkan pendekatan ini yang sebenarnya bukan perkara baru di negara ini.

Sebuah pengeluar bahan pencuci pernah menggunakan kaedah pemasaran rumah ke rumah pada tahun 1970-an, tetapi kini hanya menjual di pasar raya dan kedai.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hideki Kawasaki, berkata, Yakult Lady dimulakan secara percubaan di negara ini pada Ogos 2006 dan dilancarkan secara rasmi pada April 2007.

Setakat ini, katanya antara kawasan yang mempunyai perkhidmatan ini ialah Ijok, Kuala Selangor dan Rawang.

Seperti Jepun, beberapa syarat dikenakan terhadap wanita yang mahu menjadi Yakult Lady, iaitu hanya menerima wanita dan secara am adalah suri rumah. Bagaimanapun, calon bukan suri rumah diterima bekerja jika sesuai.

Selain itu, katanya tiada syarat pendidikan ditetapkan dengan tahap umur antara 25 hingga 50 tahun, tetapi tetap memberi kelonggaran kepada peringkat umur lain.

Beliau berkata, personaliti juga penting, iaitu seorang yang ceria dan boleh berkomunikasi dengan baik untuk menerangkan maklumat produk kepada pelanggan dan amanah seperti boleh diharapkan untuk menepati janji menghantar produk pada hari dan waktu ditetapkan.

Setakat ini, katanya seramai 36 rakyat Malaysia bergelar Yakult Lady dengan purata umur 35 tahun.

“Seperti di Jepun, sambutan pelanggan terhadap perkhidmatan Yakult Lady. Barang kali, ini menyebabkan tiada Yakult Lady yang berhenti, sekali gus menunjukkan kerjaya ini menjanjikan masa depan cerah.

Berikutan itu, katanya Yakult merancang memperluaskan Yakult Lady secara berperingkat ke seluruh negara.

-Berita Harian





Integriti dari kaca mata KSN

9 11 2007

Oleh: BAHAROM MAHUSIN

 

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan selalu mengingatkan para pegawai kerajaan tentang kisah kesukaran penduduk kampungnya pada tahun 1950-an. Berasal dari Cherok Paloh, kampung tepi laut yang lima puluh tahun lalu terletak dalam daerah Pekan tetapi kini menjadi sebahagian daripada daerah Kuantan, Mohd. Sidek menggunakan analogi Cherok Paloh untuk menggambarkan betapa pentingnya sistem penyampaian kerajaan dan kewujudan pentadbiran awam yang mesra rakyat.

 

Cherok Paloh terletak di kuala Sungai Pahang Tua dengan pantainya yang luas menghadap Laut China Selatan.

 

Menurut Mohd. Sidek, pada tahun 1950-an apabila penduduk Cherok Paloh ingin membayar cukai tanah, mereka berjalan kaki atau naik basikal. Sebelum dapat sampai ke jalan besar untuk ke Pekan, mereka terpaksa menyeberang sungai dengan perahu.

 

Sebahagian besar penduduk Cherok Paloh bekerja sebagai petani dan mengusahakan kebun getah, kelapa dan berkebun sayur. Membayar cukai tanah sekali setahun merupakan satu beban berat kepada mereka. Ketika membayar cukai tanah, mereka perlu meninggalkan kerja-kerja menoreh getah. Biasanya mereka menunggu musim tengkujuh. Apabila hari hujan dan mereka tidak dapat menoreh, mereka akan bersiap untuk ke Pekan bagi membayar cukai tanah.

 

Selepas berjalan kaki, mengayuh basikal, menaiki perahu menyeberang Sungai Pahang Tua, dan kemudian berjalan kaki atau mengayuh basikal ke Pekan yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Cherok Paloh, hari telah pun petang. Kata Mohd, Sidek, ketika mereka sampai, pejabat tanah kadangkala telah pun ditutup dan kakitangan di pejabat itu menasihatkan penduduk Cherok Paloh yang hendak membayar cukai tanah supaya datang semula keesokan harinya.

 

Penduduk Cherok Paloh membazirkan masa sehari suntuk untuk membayar cukai tanah. Jika mereka datang semula keesokan harinya, mereka kena melalui perjalanan yang sama dan mungkin juga diberikan jawapan yang serupa: “Pejabat telah ditutup, sila datang semula esok.”

 

Berdasarkan pengalaman itu, setelah dilantik menjadi Ketua Setiausaha Negara pada 3 September 2006, Mohd. Sidek menekankan pentingnya sistem penyampaian kerajaan dan kualiti perkhidmatan kakitangan awam dipertingkatkan untuk memudahkan kehidupan rakyat dan pelanggan-pelanggannya.

 

“Apabila saya memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 3 September 2006, saya berharap kisah kesukaran penduduk Cherok Paloh itu tidak akan berlaku lagi,” kata Mohd. Sidek dalam satu taklimat kepada pengarang-pengarang akhbar di Putrajaya baru-baru ini.

 

Malangnya, ujar Mohd. Sidek, cerita kesukaran penduduk Cherok Paloh membayar cukai tanah masih belum berakhir. Ia berlaku lagi pada tahun 2007 ini tetapi dalam bentuk yang lain.

 

Baru-baru ini, katanya, seorang pegawai kanan kerajaan mengadu bagaimana susahnya dia ingin membayar cukai tanah di Pejabat Tanah Sepang di Selangor.

 

Pegawai itu tiba pada pukul 11.15 pagi dan menunggu untuk membayar cukainya. Apabila tiba gilirannya tidak lama kemudian hari telah pun menunjukkan pukul 12 tengah hari. Petugas di kaunter itu memintanya kembali selepas pukul 2 petang.

 

Apabila insiden itu diadukan kepada Mohd. Sidek, beliau berasa amat marah kerana kejadian tersebut mengingatkannya kepada kesusahan penduduk kampungnya di Cherok Paloh untuk membayar cukai tanah.

 

“Seseorang kena hubungi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,” kata beliau, “dan minta kaunter di Pejabat Tanah Sepang dibuka pada waktu makan tengah hari.”

 

Tidak lama kemudian Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan arahan kepada semua pejabat daerah dan pejabat tanah di negeri itu supaya membuka kaunter masing-masing pada waktu makan tengah hari.

 

Bagi Mohd. Sidek, perkhidmatan awam merupakan satu industri perkhidmatan. “Tugas kita ialah memberi perkhidmatan kepada rakyat yang merupakan pelanggan kita.”

 

Sebelum menjadi Ketua Setiausaha Negara, Mohd. Sidek, kini 56 tahun, merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Beliau menghabiskan lebih separuh daripada perkhidmatannya selama 33 tahun sebagai pegawai kerajaan dengan bertugas di luar negara, antaranya di Jepun, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

 

Sekembalinya ke Malaysia dari AS, beliau bertugas sebagai Pengarah yang mengendalikan rundingan perdagangan pelbagai hala Malaysia sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha dan kemudian Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Oktober 2004.

 

Ketika memperkenalkan Mohd. Sidek sebagai Ketua Setiausaha Negara menggantikan Tan Sri Samsudin Osman pada 4 September 2006, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap pengalaman yang ditimba Mohd. Sidek ketika mempengerusikan perjumpaan dengan sektor swasta, penglibatan dalam dialog-dialog ekonomi serta dalam penyediaan Perjanjian Perdagangan Bebas dengan negara luar dapat dijadikan panduan dalam tugas dan misinya sebagai Ketua Setiausaha Negara.

 

Mohd. Sidek percaya bahawa beliau kini memimpin perkhidmatan awam yang berbeza berbanding era sebelumnya. Perkembangan bidang teknologi maklumat, Internet serta harapan baru pelanggan meletakkan perkhidmatan awam dalam kedudukan yang berlainan. Selaku Ketua Setiausaha Negara, beliau perlu menunjukkan dirinya bergerak selari dengan perubahan itu.

 

Kadangkala beliau membuka e-melnya selepas subuh dan membaca semua e-mel yang dihantar kepadanya. “Saya juga membalas semua e-mel yang dihantar kepada saya dan memanjangkannya kepada para pegawai saya,” katanya.

 

Memandangkan beliau mengetuai perkhidmatan awam yang diharapkan menggalakkan sistem kerajaan elektronik dan pentadbiran online, kata Mohd. Sidek, matlamat itu hanya dapat dicapai sekiranya beliau sendiri menunjukkan teladan.

 

Dalam taklimat di Putrajaya, seorang wartawan veteran, R. Nadeswaran mengadu kepada Mohd. Sidek mengenai masalah yang dihadapinya ketika menguruskan satu hal berkaitan pejabat tanah. Menurut wartawan itu, beliau ada dokumen yang akan menyokong aduannya.

 

Mohd. Sidek memberitahunya: “Scan (imbas) dokumen itu dan e-melkan kepada saya.”

 

Kata Nadeswaran: “Saya hendak beri dokumen bercetak hard copy dengan tangan kepada Tan Sri.”

 

Jawab Mohd. Sidek: “Saya tidak terima hard copy. Saya hanya terima dokumen itu melalui e-mel. E-melkan saja kepada sidek@pmo.gov.my. Saya akan beri perhatian.”

 

Menurut Ketua Setiausaha Negara, penggunaan e-mel dan menjawab e-mel perlu menjadi budaya para pegawai kanan kerajaan, termasuk Ketua Setiausaha kementerian dan ketua-ketua pengarah. Dan beliau mengharapkan budaya itu akan diperturunkan kepada para pegawai peringkat bawah.

 

Beliau mahu melihat perubahan yang hendak dibawa dan keghairahannya dikongsi oleh para pegawai kerajaan lain. Beliau ingin mereka bersamanya untuk melahirkan perkhidmatan awam yang memiliki integriti dan mentransformasikannya sehingga ia menjadi ikon kepada pembangunan negara.

 

Mohd. Sidek mengakui dari masa ke masa beliau menemui kelemahan dalam perkhidmatan awam dan mencadangkan penambahbaikan. Ingatannya kepada para pegawai kanan kerajaan: “Elok anda lakukannya (penambahbaikan) kerana saya sentiasa percaya kepada prinsip ganjaran dan hukuman. Saya akan memberi ganjaran, saya akan beri hukuman.”

 

Kepada beliau, dalam apa jua perubahan yang dilakukan, “kejayaan biasanya bergantung kepada diri seseorang, dan bukan kerana sesuatu jawatan.” Seseorang tidak perlu menunggu menjadi Ketua Setiausaha kementerian sebelum melakukan perubahan.

 

Mohd. Sidek serius menggunakan kedudukannya untuk menggerakkan usaha penambahbaikan perkhidmatan kerajaan.

 

Apabila beliau sendiri tidak sedar lesen memandunya tamat tempoh selama setahun kerana tidak dimaklumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, beliau menggerakkan JPJ untuk memaklumkan kepada orang ramai tarikh luput lesen memandu melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

 

Kepadanya, sistem penyampaian kerajaan perlu dibaiki manakala teknologi maklumat dan komunikasi harus dieksploitasi oleh jabatan dan agensi kerajaan.

 

Dalam konteks itu, dengan mata bercahaya Mohd. Sidek menceritakan kemajuan yang dicapai oleh Pemudah, iaitu Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan. Pemudah yang mempunyai ahli seramai 23 orang ditubuhkan pada 7 Februari lalu hasil inisiatif Perdana Menteri. Ia dipengerusikan bersama oleh Mohd. Sidek yang mewakili sektor awam.

 

Kerenah birokrasi menjadi sasaran Pemudah, dan Mohd. Sidek menggunakan Pemudah untuk membaiki apa yang menjadi keprihatinan Perdana Menteri, kerajaan, sektor swasta dan keprihatinan beliau sendiri.

 

Selepas setahun mengetuai sektor awam Malaysia, Mohd. Sidek yang mendapat pendidikan awal di Pekan dan Kuantan sebelum memperoleh ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana pentadbiran perniagaan dari New Hampshire College, AS menilai media dari sudut pandangan konservatif.

 

Secara terus terang beliau mengkritik perbuatan sesetengah media memberikan gambaran negatif tentang negara berdasarkan cara ia memaparkan kes jenayah, rasuah dan kritikan terhadap pentadbiran kerajaan.

 

Bagi memperjelaskan pemerhatiannya itu, beliau memberikan contoh isu pembayaran lewat kepada pembekal- pembekal dan kontraktor oleh sesetengah jabatan kerajaan. Semua pembayaran kepada pembekal dan kontaktor perlu dibuat dalam tempoh 30 hari tetapi terdapat sesetengah jabatan membuat bayaran itu dalam tempoh tiga bulan. Kritikan timbul di halaman-halaman akhbar, dan media, katanya, memperbesar-besarkan isu tersebut.

 

Apabila timbul rungutan itu, Mohd. Sidek meminta jabatan-jabatan kerajaan membuat pembayaran kepada pembekal dan kontraktor masing-masing dalam tempoh 30 hari, tetapi memandangkan mereka tidak responsif untuk membayar pembekal dalam 30 hari, sebagai hukuman beliau mengarahkan mereka memproses semua bayaran dalam masa 14 hari.

 

Jumlah pembayaran yang dibuat oleh kerajaan dalam sebulan adalah besar iaitu antara RM4 bilion hingga RM6 bilion. “Pada bulan September lalu kira-kira 96 peratus daripada bayaran itu dibuat dalam tempoh 14 hari dan hanya empat peratus dibuat selepas 14 hari,” katanya.

 

Dalam kes pegawai kerajaan yang memproses bayaran itu, isunya adalah mindset tetapi dalam kes prioriti media, dengan nada berjenaka Mohd. Sidek mengeluh: “Media tidak melaporkan mengenai pencapaian itu.”

 

“Anda tidak sukakan berita baik. Anda semua sukakan darah,” katanya merujuk kepada kecenderungan sesetengah wartawan melaporkan hal-hal negatif.

 

Ditanya mengenai tindakan ke atas penjawat awam yang melakukan rasuah atau terlibat dalam salah urus dana awam, misalnya seperti yang ditegur dalam satu laporan audit, Mohd. Sidek menegaskan, beliau memang bertindak ke atas mereka.

 

Beliau secara terbuka mengakui telah menurunkan pangkat beberapa pegawai JUSA A kepada JUSA B kerana mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan awam. Seorang pegawai wanita dibuang kerja baru-baru ini, katanya.

 

Namun, Mohd. Sidek mahu pihak media melihat semua salah laku itu dalam perspektif yang betul dan dengan kesedaran bahawa kerajaan mempunyai 1.2 juta pekerja.

 

Apabila akhbar-akhbar melaporkan terdapat pegawai kerajaan terlibat dalam satu kegiatan salah laku beberapa minggu lalu, Mohd. Sidek mengakui beliau sendiri memastikan pegawai kerajaan berkenaan didakwa dan tindakan diambil secara pentadbiran.

 

“Saya harap orang itu akan didapati bersalah. Ya, saya ada perasaan buruk terhadap pegawai itu walaupun saya tidak mengenalinya,” kata beliau. “Saya tidak dapat benarkan orang sepertinya rosakkan imej perkhidmatan awam dan kerajaan.”

 

Integriti, bagi Mohd. Sidek yang menjalani kehidupan sederhana, adalah prinsip dirinya dan ia tidak boleh dijual beli. “Jika yang melakukan kesalahan itu anak saudara saya sendiri, saya tetap mahu dia dihukum. Saya tidak akan melindunginya.”

Dipetik dari Utusan Malaysia Online (2007)





Bekerja 16 jam sehari untuk jadi kontraktor

9 11 2007

Oleh MUHD. NIZAM ABD. HAMID (WARTAWAN UTUSAN)

 

KETIKA banyak syarikat Melayu goyah dan sesetengahnya terpaksa gulung tikar akibat kegawatan ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997, syarikat pembinaan Usima Sdn. Bhd. (Usima) pula terus mengukuhkan kedudukannya malah tiada pekerja diberhentikan dan projek juga tidak terputus.

 

Kemampuannya untuk bertahan ketika itu membuktikan keupayaan pengasas yang juga Pengarah Urusan Usima, Mohd. Yusof Ismail, 44, dalam menerajui syarikat berkenaan sejak 17 tahun lalu.

 

Namun katanya, kejayaan itu tidak mudah kerana ia memerlukan fokus, disiplin, kerja keras, sanggup belajar, perancangan teliti dan tidak lupa untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.

 

Ketika ini Usima sedang melaksanakan pelbagai projek pembinaan termasuk dua projek besar bernilai kira-kira RM180 juta iaitu pembangunan semula kem tentera di Tok Jalai, Jitra dan bekalan paip air di Kuala Muda – sekali gus membuktikan kepercayaan pihak lain terhadap kemampuan kontraktor Melayu kelas A itu.

 

Pada peringkat awal pembabitannya dalam sektor pembinaan itu, Mohd. Yusof berkata, beliau hanya melaksanakan kerja-kerja kontrak yang diberikan oleh kontraktor utama namun peluang tersebut banyak memberikan pendedahan dan pengajaran yang berguna.

 

‘‘Sebagai subkontraktor, saya hanya mendapat 40 peratus daripada nilai kontrak tetapi terpaksa menanggung 100 peratus kerja terlibat dan kontraktor utama pula memperoleh 60 peratus nilai kontrak.

 

‘‘Jadi saya terpaksa teliti dalam melaksanakan kontrak itu dan tidak melakukan sebarang kesilapan bagi mengelak kerugian kerana untung yang diperoleh tidak besar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

 

Pengalaman itu katanya, banyak mengajar beliau selok-belok sektor pembinaan dan memberi kelebihan kepadanya untuk mengendalikan perniagaan dari A hingga Z tanpa bergantung kepada orang lain.

 

Sebab itulah katanya, Usima mampu menawarkan harga tender yang kompetitif beserta dengan dokumen sokongan serta rekodnya yang berwibawa dalam mengendalikan projek.

 

Yusof memberitahu, sehingga hari ini beliau masih turun ke tapak pembinaan dan mengetahui masalah yang timbul seperti pemandu jentera tidak hadir bekerja, masalah kenderaan rosak malah kecurian diesel dalam tangki juga dapat diketahuinya.

 

‘‘Saya bekerja 16 jam sehari dan mengetahui semua perkara berkaitan dengan projek yang saya laksanakan,” ujar bekas juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi itu.

 

Anak pesawah padi yang berpeluang ke universiti itu tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut gara-gara kemampuan yang terhad berkata, kemampuan menguasai setiap aspek dalam perniagaan pembinaan amat penting untuk kekal bersaing dan mencapai kejayaan.

 

‘‘Syarikat saya pernah gagal mendapatkan tender tetapi setiap kali gagal, saya akan pergi kepada pihak berkenaan untuk mengetahui sebabnya dan saya akan perbetulkan kelemahan tersebut,” ujarnya.

 

Yusof berkata, beliau mula terlibat dalam perniagaan selepas berhenti kerja sebagai juruteknik dan ketika itu terlibat dengan kontrak pemasangan kabel telekomunikasi tetapi tidak bertahan lama kerana ketiadaan kontrak untuk dilaksanakan.

 

Sebelum berada di kedudukan sekarang katanya, beliau pernah berniaga pakaian dari negara jiran tetapi tidak lama kerana pelanggannya tidak menjelaskan hutang dan dia kemudiannya berniaga ikan di pekan sehari.

 

Pada masa yang sama juga katanya, beliau telah mendaftarkan syarikat kontraktor kelas A dan bermula dengan melakukan kerja-kerja subkontraktor sebelum menceburkan diri sebagi kontraktor utama.

 

Sebagai seorang ahli perniagaan, Yusof berkata, beliau kagum dengan Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan kerajaan dan semangat bekerja orang Jepun yang bermula dari awal pagi hingga lewat malam.

 

Sebab itulah katanya, sejak awal pagi lagi beliau sudah berada di tapak projek untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar dan baginya seorang kontraktor tidak terikat dengan waktu kerja 9 pagi hingga lima petang.

 

‘‘Satu lagi faktor kejayaan sesebuah syarikat adalah sumbangan mereka kepada masyarakat. Cuba lihat syarikat besar seperti pengeluar kasut Bata dan minuman Milo yang masih bertahan sehingga sekarang, ini kerana tanggungjawab sosial yang mereka lakukan,” ujarnya.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online (2007)





Unsur integriti bangunkan negara

9 11 2007

SEJAK kebelakangan ini akhbar harian sering kali melaporkan kes-kes dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan kakitangan kerajaan. Bagaimanapun, penulis begitu teruja bila membaca temu ramah akhbar harian dengan Ketua Setiausaha Negara mengenai unsur integriti baru-baru ini.

 

Dalam temu ramah tersebut, beliau menyatakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan walaupun anaknya sendiri.

 

Kata-kata tersebut mengingatkan penulis kepada kenyataan Khalifah Umar Ibnu Khattab ketika mula-mula dilantik menjadi khalifah. Namun dalam sejarah peradaban manusia, kisah Khalifah Umar Abd Aziz lebih terkenal dengan unsur integriti yang ada padanya. Baginda dilaporkan tidak memberontak apabila dilucutkan jawatan sebagai gabenor apabila dituduh melakukan fitnah ke atas seorang pegawai yang menerima rasuah.

 

Baginda juga tidak mahu menggunakan kereta kuda yang baru yang disediakan kepada setiap khalifah yang baru dilantik. Baginda juga tidak menggunakan harta kerajaan untuk tujuan peribadi dan keluarganya.

 

Dan yang lebih menarik perhatian adalah, ketika baginda sedang tenat, baginda enggan menerima cadangan daripada barisan menteri untuk mengambil sedikit duit Baitulmal untuk diberikan kepada anak-anaknya yang masih kecil.

 

Itu adalah antara contoh unsur integriti yang ditunjukkan oleh para pemimpin yang lampau. Pemimpin-pemimpin negara di awal kemerdekaan juga menunjukkan sikap yang sama iaitu menjalani kehidupan secara sederhana.

 

Integriti adalah satu istilah yang berasal daripada istilah Inggeris yang membawa maksud kejujuran, kesempurnaan dan keutuhan. Ini membawa maksud seseorang yang mempunyai unsur ini akan memiliki sifat amanah, keikhlasan, keterbukaan, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi dan sebagainya.

 

Sebuah organisasi yang berjaya perlulah mempunyai unsur ini di kalangan pekerjanya. Petronas dilihat sebagai sebuah organisasi yang berjaya di negara kita kerana unsur integriti menjadi penekanan utama dalam organisasi tersebut. Setiap pekerja diajar untuk bekerja bagi memikul amanah negara.

 

Dalam sektor awam, kerajaan telah melancarkan Pelan Integriti Negara (PIN) pada 23 April 2004 bagi melahirkan warga kerja yang dapat merealisasikan Wawasan 2020.

 

Walaupun sudah lebih tiga tahun PIN dilaksanakan, keberkesanannya masih belum dapat dilihat. Bahkan kita sering diceritakan oleh media tentang penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat.

 

Dalam pembangunan negara, dua unsur penting yang perlu dimiliki oleh warga pekerja adalah unsur intelek dan juga integriti. Seseorang yang hanya mempunyai unsur intelek dan tanpa integriti akan memungkinkan mereka terjebak ke dalam aktiviti yang kurang sihat seperti rasuah dan penipuan.

 

Mempunyai graduan dari universiti yang terkemuka di dunia tidak memberi faedah jika mereka hanya bersikap mementingkan diri sendiri.

 

* DR. MOHD. ROSHDI HASSAN adalah kakitangan Universiti Putra Malaysia yang bertugas di Rolls Royce UTC University of Sheffield, UK.

Dipetik dari Utusan Malaysia Online (2007)